" > ; >

Monday 1 February 2016

Demokrasi Berparlimen ( Pengajian Malaysia )

Corak pemerintahan demokrasi
Corak pemerintahan demokrasi ialah sistem raja berperlembagaan dan sistem republik.

             Sistem Raja Berperlembagaan ialah sistem pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai pemerintahan tertinggi negara dan negeri. Pemerintahan  dibantu oleh Perdana Menteri.

             Sistem Republik pula menolak institusi raja. Kerajaan ini diketuai oleh presiden. Presiden dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Di negara Perancis, Korea Selatan, India dan Filipina presiden memegang dua jawatan iaitu sebagai ketua kerajaan dan ketua negara.

Maksud Demokrasi Berparlimen

 Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara. Raja-Raja Melayu pula menjadi lambang taat setia rakyat. Melalui sistem ini rakyat berpeluang membentuk kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya.  Dalam pilihan raya,  rakyat berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam proses pengundian semasa pilihan raya.

Perlembagaan Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia.  Selaras dengan peredaran masa, beberapa pindaan perlembagaan dibuat untuk menyesuaikan sistem pentadbiran dengan perkembangan politik semasa.  Sistem demokrasi berparlimen di negara kita berjaya mengekalkan kerajaan yang adil, sejahtera, dan stabil.

Latar belakang sistem Demokrasi Berparlimen

 Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, jentera pentadbiran kerajaan telah diperkemaskan. Sistem pemerintahan  dan pentadbiran selepas merdeka adalah berlandaskan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat.

           Terdapat dua corak pemerintahan demokrasi  iaitu sistem Raja Berperlembagaan yang mengekalkan raja sebagai pemerintah tertinggi negara dan negeri. Pemerintahan dibantu oleh Perdana Menteri.

               Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara. Raja-raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat.

            Rakyat berpeluang membentuk kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya. Rakyat berhak menyokong dan mengekalkan atau menukar kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya.

            Perlembagaan  Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Pindaan perlembagaan dibuat untuk menyesuaikan sistem pentadbiran dengan perkembangan politik semasa.Sistem demokrasi Berjaya mengekalkan kerajaan yang adil,sejahtera dan stabil.  



Ciri-ciri pemerintahan Demokrasi Berparlimen


a.Perlembagaan

Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi asas pembentukan negara kita.  Perlembagaan adalah dokumen rasmi yang mengandungi segala peraturan  dan prinsip sebagai panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara.

Perlembagaan merupakan jaminan kerajaan menunaikan tanggungjawab melalui peruntukan yang terkandung di dalamnya.Perlembagaan Malaysia diperkenalkan pada 16 September 1963.

.  Perlembagaan negara kita mengandungi 183 perkara.  Dalam perlembagaan negara kita mengandungi peruntukan Senarai Kerajaan Persekutuan,Kerajaan Negeri,Senarai Bersama, institusi Yang DiPertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Badan Kehakiman. Perlembagaan Malaysia membuat pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan. Negeri-negeri yang bergabung dengan Persekutuan Malaysia diberikan hak,kuasa dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri.

b. Raja Berperlembagaan /Kuasa Yang Dipertuan Agong
   


     Raja berperlembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam perlembagaan Malaysia.  Yang Dipertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan dan nasihat Perdana Menteri.  Baginda tidak boleh bertindak bersendirian kecuali dalam perkara tertentu atas budi bicara Baginda.

Yang DiPertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan Raja-Raja Melayu secara bergilir-gilir dalam tempoh 5 tahun sekali. Pemilihan Yang Dipertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.Baginda merupakan tonggak kerajaan Malaysia ,ketua utama negara dan merupakan ketua tertinggi angkatan bersenjata. Baginda juga berkuasa mengampunkan atau menangguhkan sesuatu hukuman terhadap kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera.

Yang Dipertuan Agong mengetuai tiga badan kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman.Baginda juga merupakan satu daripada tiga unsur parlimen.Baginda mempunyai kuasa memanggil dan membubarkan parlimen.

Baginda bertanggungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu.   Selain itu, baginda juga merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Yang Dipertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri.  Baginda juga boleh mengisytiharkan undang-undang darurat di bawah ‘ Undang-Undang X’ jika mendapati keselamatan negara terancam.  Di samping itu, baginda berkuasa melantik Pengerusi dan 3 orang Ahli Suruhanjaya Pilihan raya, Ahli Perkhidmatan Kehakiman, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya


c. Badan-badan Pemerintah/Kuasa Pemerintahan    



            Malaysia merupakan salah sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa.Kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu Badan Perundangan,Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga badan harus dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa.
    
i)Badan Perundangan

              Perundangan merujuk kepada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Manakala parlimen ialah badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang- undang di negara kita.

       Parlimen juga merupakan ciri-ciri sistem demokrasi berparlimen.  Parlimen adalah badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita.  Ini merujuk kepada undang-undang yang digubal oleh badan Perundangan. Parlimen berperanan menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat.  Parlimen merupakan badan perundangan yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

        Fungsi badan perundangan adalah menggubal undang-undang bagi menjamin  keadilan dan  kesejahteraan rakyat. Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara kita.

       Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli iaitu 26 orang ahli dipilih daripada 13 buah negeri, dua  orang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mewakili Wilayah Kuala Lumpur. Seorang dipilih untuk mewakili Wilayah Persekutuan Labuan,manakala 40 lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang terdiri  daripada individu yang cemerlang dan berjasa kepada negara. Ahli Dewan Negara yang digelar senator ini mewakili setiap negeri dan mereka dilantik tanpa melalui pilihan raya.Seseorang Senator memegang jawatan selama tiga tahun.Senator mestilah berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf  Senator sama dengan Ahli Parlimen dan mereka boleh dilantik menjadi ahli Jemaah Menteri.


     Dewan Rakyat merupakan dewan terpenting yang mengandungi 219 ahli . Pada tahun 2013, berlaku pertambahan ahli kepada 222 ahli ). Mereka mewakili setiap kawasan pilihan raya seluruh Malaysia atau kawasan parlimen.  Ahli dilantik melalui pilihan raya dan memegang jawatan dalam tempoh lima tahun.  Tugas dewan ini adalah menggubal dan meluluskan undang-undang.  Undang-undang yang digubal dinamakan Akta.  Bagi undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri disebut Enakmen manakala di Sabah dan Sarawak dikenali Ordinan.

ii) Badan Pelaksana

          Kabinet atau Jemaah Menteri merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara.Tugas Jemaah Menteri adalah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara.Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri.

          Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengetuai sesebuah atau beberapa kementerian. Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan,merancang dan menyelaraskan program pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. Pada masa ini, terdapat 26 buah kementerian yang bertanggungjawab dalam semua perkara. Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri ,Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Seseorang menteri yang tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio. Menteri Tak Berportfolio akan diberikan tugas-tugas tertentu oleh Perdana Menteri.

            Perkhidmatan Awam  Malaysia diketuai  oleh  Ketua Setiausaha Negara yang bertanggungjawab mengawasi perjalanan kementerian dan jabatan kerajaan. Pada peringkat kementerian, pentadbirannya diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian. Ketua Setiausaha dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan pegawai perkhidmatan awam. Semua kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan oleh kerajaan.

                 Jabatan Kerajaan diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali sebagai Ketua Pengarah.Sesebuah kementerian pada kebiasaannya mempunyai jabatan pada peringkat pusat,negeri dan daerah.

                 Badan Berkanun merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu. Badan berkanun mempunyai peruntukan kewangan sendiri. Badan ini ditadbir oleh sesebuah Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan.Contoh, Badan Berkanun ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

               Beberapa suruhanjaya ditubuhkan untuk mengendalikan urusan pelantikan menguruskan kenaikan pangkat dan memantau disiplin dalam kalangan kakitangan awam. Contoh-contoh Suruhanjaya ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Majlis Angkatan Tentera.

iii. Badan Kehakiman

          Badan  kehakiman mempunyai kuasa mendengar dan menentukan perkara sivil dan jenayah. Perkara sivil berkaitan dengan saman (biasanya memerlukan afidavit) manakala perkara jenayah pula melibatkan kanun keseksaan. Peranan badan kehakiman adalah menentukan  kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan pihak badan pelaksana, mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Sistem mahkamah diwujudkan oleh perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas kehakiman.

        Tugas-tugas mahkamah adalah mentafsir perlembagaan negara dan mentafsir undang-undang, mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan yang tidak sah di sisi undang-undang. Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara ini merupakan kuasa Badan Perundangan atau Parlimen.

         Sistem mahkamah di Malaysia disusun mengikut hierarki piramid. Melalui sistem ini, individu atau kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan perjalanan mahkamah boleh membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Semua hakim dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri. Urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pelucutan  jawatan terletak di bawah kuasa Yang Dipertuan Agong. 
         Seseorang hakim dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri. Urusan pelantikan , kenaikan pangkat dan pelucutan jawatan terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Seseorang hakim tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya tanpa sebarang sebab yang munasabah. Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik. Tujuannya supaya hakim dilindungi daripada pengaruh politik untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang. Peguam negara merupakan penasihat undang-undang kerajaan. Peguam negara juga akan menjadi Pendakwa Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan. Peguam Negara dibantu oleh Pegawai Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman.


d. Pilihan raya



             Pilihan raya dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Pilihan raya merupakan proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan.Pemilihan dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur.Pengiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusannya direkodkan. Manakala calon yang mendapat undi terbanyak dikira menang melalui sistem majoriti mudah.

               Pilihan raya merupakan ciri penting sistem demokrasi berparlimen. Suruhanjaya pilihan raya adalah badan bebas tanpa tekanan dari pihak pemerintah / pembangkang. Keanggotaan SPR dilantik oleh Yang di Pertuan Agong. SPR bertindak menentukan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya, menjalankan pendaftaran dan mengendalikan pilihan raya. Pilihan raya umum diadakan 5 tahun sekali. Di samping itu, pilihan raya umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan negeri  serentak di seluruh negara.


        Pilihan raya umum di Sabah dan Sarawak diadakan secara berasingan. Pilihan raya kecil diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri disebabkan kematian, peletakan jawatan dan pelucutan jawatan. Selepas kekosongan itu, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi Sabah dan Sarawak. Calon daripada pelbagai parti yang bertanding dibenarkan berkempen. Tempoh berkempen adalah antara 7 hingga 15 hari sahaja. Pembubaran Parlimen akan dilakukan oleh Yang di Pertuan Agong.

        Proses pilihan raya bermula dengan penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Selepas itu penamaan calon-calon yang bertanding akan dilaksanakan. Kemudian penyediaan manifesto oleh parti-parti yang bertanding. Selepas selesai penyediaan manifesto, pelancaran kempen pilihan raya dilakukan. Kemudian pengumuman tempat pengundian dan tempat pengiraan undi dilakukan oleh SPR.

         Semasa hari mengundi pengundi akan diberikan kertas undi yang mengandungi lambang parti calon yang bakal dipilih  di tempat mengundi. Pengundi akan memangkah calon pilihan raya pada kertas undi dan memasukkan ke dalam peti undi. SPR akan membuat pengiraan undi calon yang bertanding dan pengumuman keputusan pilihan raya dibuat oleh Pegawai Pilihan Raya.

        Calon pilihan raya mestilah warganegara Malaysia, berumur 21 tahun, bermastautin di Malaysia, sempurna akal, bukan orang yang muflis, tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan.

      Pengundi hanya boleh mengundi jika namanya didaftarkan dalam Senarai Daftar Pemilih. Mengikut perkara 119 perlembagaan Malaysia, pengundi hendaklah warganegara yang berumur 21 tahun, bermastautin atau tidak bermastautin, tinggal di mana-mana kawasan  pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri. Seorang pengundi hanya boleh mengundi dalam sebuah kawasan pilihan  raya sahaja.

        Anggota SPR   akan menubuhkan urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha yang berperanan sebagai Ketua Eksekutif  dan Ketua Pentadbir urus setia.  Mereka dibantu oleh sekumpulan kakitangan awam. Urus setia SPR wajib mengikuti garis panduan dan dasar SPR. Pemerhati luar terdiri daripada negara –negara luar yang mengamalkan sistem demokarasi seperti negara Pakistan dan negara India.

Kepentingan



1.    Kepentingan Perlembagaan                 

       Kepentingan perlembagaan adalah menentukan rangka dan bentuk kerajaan.Perlembagaan menjamin kestabilan sesebuah negara.
      
     Perlembagaan juga membantu menjamin kecekapan, kejujuran, ketelusan serta kelicinan pentadbiran sesebuah kerajaan. Setiap pemimpin memerlukan panduan semasa memerintah supaya pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat.

             Perlembagaan Malaysia menjamin taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara supaya semangat patriotisme dapat dibentuk.Perkara 24, Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai kerakyatan negara lain akan dilucutkan kewarganegaraannya. Perkara 25 menyatakan bahawa seseorang warganegara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada negara ini. Perkara ini bertujuan supaya rakyat memberikan sepenuh ketaatan kepada tanah air untuk mengekalkan identiti negara dan bangsa Malaysia.

         Perlembagaan Malaysia turut menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat negara ini.Perlembagaan membolehkan rakyat mengetahui hak kebebasan rakyat di negara ini.

          Perlembagaan juga menjaga dan memelihara hak istimewa dan kedudukan orang Melayu. Perkara 153 dalam perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang Dipertuan Agong berperanan menjaga dan memelihara hak istimewa orang Melayu,bumiputera Sarawak dan Sabah.Hak istimewa ini termasuklah pemberian jawatan dalam perkhidmatan awam,biasiswa,kemudahan pendidikan dan pemberian lesen perniagaan dan perdagangan.Perlembagaan memastikan perkara 153 dilaksanakan dengan berhati-hati juga supaya pelaksanaannya tidak mengabaikan kaum-kaum  yang lain.

          Perlembagaan juga menjamin kerjasama,kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan negeri.Ia menjadi rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri untuk membolehkan sistem pentadbiran negara dapat diselaraskan tanpa sebarang perbalahan. Pembahagian ini turut  menjelaskan bahawa perlembagaan negeri tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

            Perlembagaan Malaysia menjamin  kedudukan istimewa orang Melayu,bumiputera Sabah dan Sarawak.Jaminan ini telah ditetapkan sebelum Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Kerajaan persekutuan menggunakan senarai kuasanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan untuk membantu pembangunan di Sarawak dan Sabah menyebabkan pembangunan yang pesat berlaku dalam bidang pendidikan, kesihatan,perkhidmatan pos,telekom dan polis terutamanya di kawasan pedalaman.

ii.    Kepentingan Raja Berperlembagaan

          Sistem Raja Berperlembagaan merupakan tonggak keagungan kerajaan Malaysia sejak merdeka sehingga kini.Yang di-pertuan Agong merupakan ketua utama negara.Sistem ini membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di negara kita. Raja Berperlembagaan merupakan simbol keutuhan dan perpaduan rakyat di samping memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat dan rakyatyang dinaungi raja.

         Baginda bertanggungjawab menjaga dan memelihara   kedudukan dan hak istimewa orang Melayu.Yang di-pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri banginda sendiri,Pulau Pinang,Melaka,Wilayah Persekutuan,Sarawak dan Sabah.

          Yang di-pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri.Baginda juga boleh mengisytiharkan  undang-undang darurat di bawah “Undang-Undang X” jika mendapati keselamatan negara terancam.

iii. Kepentingan Pengasingan Kuasa dalam Pemerintahan

         Kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu Badan Perundangan,Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman.Ketiga-tiga badan harus dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa. Peranan untuk mengimbangi “check and balance”. Ia juga dapat mengelakkan penindasan terhadap rakyat dan lebih menjamin kebebasan rakyat.

        Seterusnya dapat melindungi hak asasi rakyat serta mewujudkan kecekapan pemerintahan. Corak pemerintahan menjadi lebih bersistematik. Pengasingan kuasa juga dapat mengurangkan bebanan tugas badan pemerintah di negara kita.

      Di samping itu pembangunan negara menjadi lebih pantas ke arah globalisasi. Konsep ini juga dapat menjamin keadilan dan keharmonian negara. Perpaduan dalam kalangan rakyat bertambah kukuh dan dapat mengelakkan perbalahan antara kaum.Ia juga dapat mengelakkan salah guna kuasa dalam kalangan badan pemerintah dan secara tidak langsung dapat mengekalkan kedaulatan negara.

iii. Kepentingan pilihan raya
    
       Kepentingan pilihan raya ialah rakyat mempunyai hak untuk memilih wakil rakyat.  Rakyat dapat menentukan bentuk kerajaan yang dikehendaki.

       Seterusnya penglibatan rakyat dalam politik semasa.  Selain itu, ia dapat membentuk pentadbiran yang sistematik dan mewujudkan keamanan negara.  Secara tidak langsung, ia dapat melindungi hak kebebasan bersuara rakyat dan menentukan pola politik.

      Di samping itu, ia melahirkan warganegara yang bersifat terbuka dan berdisiplin serta bermoral tinggi. Pilihanraya juga mengiktiraf hak asasi rakyat. Ia juga dapat mengekalkan perpaduan dan kedaulatan negara.

      Proses pilihan raya ini juga menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Kestabilan negara bergantung pada permuafakatan antara rakyat dengan kerajaan.

Manfaat

Sistem demokrasi berparlimen dapat melahirkan taat setiarakyat yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin yang dipilih.

Rakyat juga terlibat dalam menentukan hala tuju politik negara. Demokrasi berparlimen memberi ruang dan peluang kepada rakyat memilih pemimpin. Ia menentukan pemimpin yangberkebolehan dan berkualiti.

Rakyat juga mempunyai hak bersuara, berpolitik dan berpersatuan. Pemimpin yang terpilih akan berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada rakyat.  Ini membantu ekonomi Negara berkembang maju.

Mengekalkan kestabilan politik negara. Keadaan ini jugamenarik pelancong dari luar Negara.

            Sistem demokrasi berparlimen dapat mengekalkankedaulatan kerajaan. Kerajaan juga dipilih oleh rakyat. Sistem ini mengamalkan pengkongsian kuasa. Ini memastikan pemimpin tidak berkuasa mutlak. Keadaan ini menjamin masa depan Negara yang lebih baik.

            Segala pemasalahan diselesaikan melalui rundingan. Kecekapan pentadbiran Negara yang sistematik dibentuk.Keamanan dan keharmonian Negara dikekalkan. Dengan ituperancangan pembangunan kerajaan mudah diatur.

      Di samping itu kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan. Keadaan ini dapat mengurangkan tekananantarabangsa. Sistem ini juga memperkukuhkan perpaduan. Perpaduan ini menjamin kestabilan politik yang secara tidak langsung menarik pelaburan asing. Ia membantu perkembangan industri.

      Disebabkan itu pembangunan dan kemajuan Negara menjadi semakin rancak. Meningkatkan nilai mata wang. Apabila Negara menjadi maju, nama serta imej Negara meningkat di mata dunia. Dunia juga akan mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang. Malaysia menjadi model sistem pemerintahan untuk negara lain.

Pengetahuan yang diperoleh:

Sebagai kesimpulan, negara kita Malaysia mengamalkan sistem
pemerintahan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.Kuasa pemeritahan di Negara kita dibahagikan kepada tiga badan iaitu badan perundangan, badan pelaksanaan, dan badan kehakiman. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan dapat dijalankan dengan baik dan mantap dengan sokongan padu rakyat.